Monday, March 28, 2011

Gejala Rasuah

Saya fahami "gejala" itu memberi maksud seperti "symptom" iaitu perkataan yang digunakan dalam dunia perubatan yang bererti tanda-tanda penyakit. Maka secara alihbahasa, gejala rasuah yang saya fahami ialah tanda-tanda penyakit rasuah. Di sini rasuah diertikan sebagai penyakit. Penyakit lawannya ialah kesihatan. Lantas penyakit rasuah ialah penyakit sikap. Penyakit ini ada dialiti. Dalam sistem sosial, penyakit rasuah ini mampu menyihatkan pesakitnya tapi kesihatan pihak lain seperti masyarakat menjadi teruk. Ini berbeza dengan penyakit tubuh-badan. Dalam keagamaan, penyakit rasuah ini merosakkan pengamalnya dan merosakkan masyarakatnya.


Dalam sosio-politik zaman ini terutama yang dipraktikkan di negara maju, selagi "kesihatan masyarakat" tidak teruk atau " nampak sihat", tidak perlulah menceritakannya seperti kudis. Orang dulu kata tak perlulah buka pekung di dada. Simpan elok-elok dan tanggung sendiri nanti. Dah kaya rawatlah sendiri nanti. Gejala ini menjadi isu bila masyarakatnya dah sakit. Rasuah ini adalah masalah sikap. Ia berlaku dikalangan mereka yang tidak kaya dan juga kepada yang kaya. Ia berlaku kepada yang beragama dan juga kepada yang tidak beragama. Pengamalnya boleh berlatarbelang semua jenis kaum. Kepercayaan pengamalnya ialah ia akan memberi kesenangan cepat asalkan tidak ada manuasia lain yang tahu. Mereka ini faham sikap itu buruk dan berdosa, itu sebab perbuatan ini perlu dibuat sorok-sorok. Setiap perbuatan ini ada motifnya tersendiri.


Kerajaan Malaysia yang lebih berpegang kepada nilai-nilai keagamaan nampak bersungguh-sungguh nak banteras penyakit ini. Ini kerana dia percaya kata-kata masyarakat pelabur ekonomi yang mana rakyat Malaysia berpenyakit rasuah. Hendak melaksanakan tanggung-jawab moralnya, kerajaan Malaysia cuba membanteras gejala ini di kalangan penjawat jabatan kerajaan seramai lebih sejuta orang supaya dapat menunjukkan imej kerajaan yang sihat dan boleh dipercayai. Dia juga membentuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbuka juga kepada rakyat yang bukan penjawat jabatan kerajaan. Kalau rakyat Malaysia berjumlah 27juta orang, dan 10juta orang bekerja dan tolak 1 juta orang penjawat jabatan kerajaan, ada 9juta orang di pihak swasta. Kalau 5% orang ini berasuah maka ada 450,000 orang dari syarikat bukan kerajaan berasuah. Kumpulan 5% inilah yang memburukkan imej negara dengan lebih berkesan. Angka 5% nampak kecil tetapi jumlah 450,000 pengamal tegar rasuah bukan kecil. Kalau anda bekerja di pihak swasta, anda akan faham betapa ramainya pengamal rasuah yang cuba mengkayakan dirinya. Mereka inilah yang berkeliaran di kedai kopi, pub dan bar menceritakan amalan rasuah kepada orang asing dengan petunjuk bukti secara implikasi. Mereka menunjukkan itulah amalannya dan orang asing ini mesti adaptasi dengan amalan itu di sini dan begitulah kosnya kalau mereka nak bisnes.


Bagi masyarakat bukan muslim, rasuah ini dah biasa bagi orang bisnes tapi tidak dinamakan rasuah. Ia adalah kos bisnes atau hadiah bagi mengendalikan bisness. Ia akan dinamakan rasuah bila pengamal rasuah itu tidak dapat apa yang dihajatkan setelah berasa rugi bila kos serta hadiahnya tidak berjaya mendapatkan hasil. Dulu saya ada kawan seperti ini dan dia kata tuhan lebih memahami cara bisnes ini dan akan memaafkan mereka kerana desakan naluri manusia. Dia hanya akan malu kepada tuhan jika ia tidak berjaya.


Bagi masyarakat muslim pula, ia tahu amalan itu salah. Jadi ia mesti mengubah kefahaman perkataan itu supaya tindakannya bukan rasuah yang diertikan oleh bahasa secara linguistik. Dia perlu mengubahsuai cara supaya dengan cara itu dia boleh yakin kata bukan rasuah walaupun amalan itu adalah rasuah. Rasuah mesti melibatkan pihak pertama dan pihak kedua yang berkepentingan. Pihak pertama berkuasa membuat keputusan dan pihak kedua pula berminat supaya keputusan itu berpihak kepadanya. Kalau tidak menggunakan pihak ketiga atau menggunakan pihak ketiga tetapi kedua-dua cara melibatkan ahli dari pihak pertama dengan habuan tertentu samada memberi atau janji akan memberi, ia masih rasuah. Tak perlulah panggil ia sebagai komisyen dsbnya sebab keputusan pihak pertama telah bergantung kepada janji habuan pihak lain.

No comments: