Thursday, February 3, 2011

Diversiti Kaum Dan Budaya

Aku kembali menulis ni tahun 2011. Berdentum bunyi permainan bungapi besar-besaran malam tadi selama hampir 30 minit walaupun menyalahi peraturan Polis. Samada peraturan ini dah jadi kuatkuasa undang-undang, aku tak tahu. Mungkin esok sambung lagi kot. Rakyat Malaysia kaum Cina nak sambut Tahun Baru Cina. Sepuluh bulan aku tinggal di Beijing tahun 1998 dulu, Spring Festival dia macam kurang sambutan saja di sana, macam hari biasa saja. Aku tak faham sangat diversiti masyarakat tu jadi tak mahu komen. Kepada kenalan-kenalan aku kaum Cina aku ucapkan Kong Xi Fa Cai. Untuk semua kaum pula, jaga diri, jangan terlalu bebas dan lupa musim kemalangan jalanraya tiba. Aku baca ramai pelancong Eropah tiba nak merasa wujudnya keunikan environment diversiti kaum dan budaya sebenar di sini yang telah dibentuk oleh kerajaan tempatan. Teori kerajaan dengan formula ini sebenarnya telah dicanang dan dibahaskan selama beberapa tahun di Eropah terutama Holland dan Britain lama sebelum perang dunia kedua. Sarjana sains-politik mereka kata kerajaan sebegitu tidak mampu berjaya kerana diversiti budaya yang bercanggah. Itu di Eropah, lebih-lebih lagi di Asia. Tapi lepas PDK2, ahli-ahli politik dari Tanah Melayu pula yang beria-ia hendak menghidupkan dan mengamalkan teori tersebut. Pelik ke? Kerajaan-kerajaan baru di sekitar Asia Tenggara pula semuanya memilih konsep teori "asimilasi" penduduk yang pelbagai kaum memaksa untuk membentuk hanya satu bangsa dan budaya negara. Britain sukar hendak membentuk negara India dan Israel menggunakan teori diversiti ini. Kolonial Britain sendiri terkejut bila rombongan politik Tanah Melayu pelbagai kaum diterajui orang Melayu sendiri menyatakan pada Britain yang mereka percaya formula berkerajaan secara mengekalkan diversiti ini sesuai untuk membentuk negara Persekutuan Tanah Melayu. Britain melihat formula yang dibawa ini mampu menyelesaikan masalah kerakyatan NNS yang tidak diiktiraf sebagai rakyat Britain (seperti Hong Kong), masalah saluran infrastruktur mentadbir ekonomi negara baru, masalah ancaman teori domino komunis dan masalah perundangan yang membabitkan kuasa raja-raja Melayu sebagai pemerintah negeri-negeri Tanah Melayu yang sah dan diiktiraf. Nama Persekutuan Tanah Melayu inilah yang digunakan dalam Perisytiharan Kemerdekaan yang diterima oleh raja negeri-negeri Melayu dan Her Majesty of Britain, sesuai dengan perkara khas dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 yang perlu menjaga kehormatan raja-raja Melayu yang bertoleransi setuju menyatukan negeri-negeri mereka bersama NNS menjadi satu negara yang ditadbir keseluruhannya oleh satu kerajaan persekutuan yang berteraskan corak demokrasi berparlimen corak British dan bukan lagi sistem monarki mutlak. Yang membangkang waktu itu adalah golongan sosialis kesatuan pekerja serta parti komunis yang fikir sistem kapitalis adalah korup, raja-raja Melayu dah lama dihapuskan sewaktu pemerintahan Jepun dan fahaman komunis sedunia sedang berkembang maju. Ada juga golongan dari kaum Melayu yang ingin mengekalkan raja Melayu sebagai pemerintah mutlak yang akan menjadi khalifah menjaga kedudukan agama Islam. "Malaya" adalah ungkapan British waktu itu merujuk kepada wilayah ekonomi gabungan negeri-negeri Melayu yang bersempadan darat yang dimiliki oleh raja-raja Melayu. Itu sebab Negeri-Negeri Selat tidak pernah dipanggil Malaya. Hari ini kita melihat satu masyarakat yang aman mengekalkan identiti kaum serta budaya asal mereka yang dapat difahami oleh kaum lain yang turut gembira menerima festival Tahun Baru Cina. Begitu juga suasana pada masa festival kaum-kaum yang lain. Aku rasa masyarakat harmoni dan kejayaan mengekalkan diversiti ini akan lebih makmur sekiranya kefahaman mengenai budaya semua kaum dan kepentingan diversiti dalam dunia moden lebih diteraskan di peringkat sekolah untuk dihormati dan dikagumi semua orang. Aku rasa formula masyarakat diversiti ini akan lebih berjaya bila cabaran mempertingkat ekonomi semua kaum dapat diatasi. Dalam proses itu biasalah bukan semua orang akan puas hati. Dah dijadikan Tuhan, sentiasa ada sebilangan manusia itu extreme dalam setiap kaum kerana manusia itu dijadikan berpasangan, ada lelaki ada perempuan, ada pondan ada khunsa, ada baik ada jahat dan sebagainya.

No comments: