Sunday, June 15, 2008

Sumber Kuasa Pengurusan

Terdapat lima sumber kuasa yang diminati dan boleh digunapakai secara berkesan untuk menjawat sesuatu kedudukan dalam pengurusan.

Kuasa Ganjaran (Reward Power) Sumber kuasa ini boleh menjadi penarik dengan memberi bayangan kepada orang bawahan bahawa mereka akan mendapat ganjaran tertentu dari pengurusan sekiranya berjaya melakukan tugasan tertentu. Kesan buruk boleh berlaku jika kepercayaan mereka ini hasil dari bayangan yang dibuat telah didustai. Pekerja yang sangat berpengalaman akan berkata: hapuskan bayangan/janji dengan ketelusan yang nyata. Anda boleh jadi popular sekiranya pekerja tahu anda berjaya merealisasikan ganjaran buat mereka.

Kuasa Paksaan (Coercive Power) Sumber kuasa ini digunakan dengan cara ugutan atau ancaman ‘di sebalik tabir’ terhadap seseorang atau kumpulan. Pengurusan ini mahir berpura-pura. Efektif terhadap kumpulan yang ‘tidak berani’ atau ‘takut’ hilang kepentingan. Oleh itu pengurusan yang begini akan menekan (suppress) dengan pelbagai cara dan mengikat pekerjanya dengan sesuatu pemberian/hutang yang sukar ditebus. Tindakan anda mungkin tidak popular tapi mungkin berkesan.

Kuasa Tauliah (Legitimate Power) Anda terus mengungkapkan nama orang atasan dalam menguruskan sesuatu agenda dan kononnya anda telah diberi tauliah menyelaraskan arahan yang mesti diikuti oleh pekerja. Pengurusan ini biasanya terhad dengan kemampuan ilmu mereka untuk melakukan kerja dengan mudah mengikut interpretasi mereka tanpa perlu berkongsi arahan sebenar dengan pekerja. Pengurusan ini biasanya menambah dengan ancaman yang tidak perlu seperti kemungkinan tindakan akan berlaku terhadap pekerja yang gagal menuruti arahan. Sumber kuasa ini sangat efektif terhadap kumpulan sasaran yang taat atau mudah diekploitasi pengurusan. Sukar diaplikasi terhadap pekerja yang sangat berpengalaman.

Kuasa Kepimpinan (Referent Power) Sumber kuasa ini amat luarbiasa dan terdapat pada pemimpin tertentu sahaja. Ia bukan kuasa ajaib tetapi lebih menjurus kepada kebijaksanaan, pengalaman, cara dan sikap baik pemimpin itu sendiri yang mendapat pujian, penghormatan dan kepercayaan dari pekerja. Sumber kuasa ini mampu membawa pekerja melakukan perkara-perkara amat sukar dengan kaedah-kaedah dan pendekatan unik yang boleh berkesan. Pekerja dan kepimpinannya bersatu samada menuju kehancuran atau kejayaan. Pengurusan ini bersimpati dengan hal individu dan boleh konflik dengan sistem pengurusan tradisi. Sumber kuasa ini lebih bersifat kepimpinan dan perjuangan (berbeza dengan hanya mengurus adat sistem pengurusan). Malangnya kejayaan pengurusan begini biasanya hanya disenangi kumpulan bawahan. Dari sejarah Greeks hingga zaman sekarang pengurus yang berjaya menguasai sumber kuasa ini akhirnya akan lenyap dengan cepat. Wat suspen aje...

Kuasa Kepakaran (Expert Power) Pekerja anda mempercayai anda mempunyai tahap kepakaran ilmu yang tinggi dalam bidang anda menyebabkan anda sangat dipercayai apa sahaja yang anda beritahu dalam pengurusan anda. Sebenarnya sumber kuasa ini akan dicabar secara pasif supaya organisasi tidak menyimpang dari laluan sebenar. Jika anda dipercayai sebagai pakar anda mungkin marah bila dipersoalkan. Anda perlu menggunakan sumber kuasa ini dengan bijaksana mengukuhkan organisasi dengan kepakaran lain yang boleh memberi sokongan terhadap cara pengurusan anda. Semua ingin melihat kepakaran dan kebijaksanaan cara anda. Jangan angkuh.

No comments: