Sunday, June 8, 2008

Entah Apa Nak Jadi

Adakah tahap kehidupan dan kewangan kita semakin baik? Mungkin hari ini padaku 'ya' tapi sedikit saja. Itupun kalau aku tak bekerja lagi kerana gawat ekonomi atau mengalami masalah kesihatan serius semua jawapannya akan segera jadi 'tidak'. Begitu mendadak sekali perubahan yang mungkin. Tapi aku lihat ramai yang mengeluh sekarang kerana kehidupan yang semakin rumit. Ramai graduan, terutama dari universiti atau kolej di luar bandar, terperangkap dengan harapan yang tinggi tetapi akhirnya sedar sukar dapat peluang pekerjaan yang diidamkan. Merekapun tak pandai selok belok bandar lain. Beribu-ribu yang dikatakan masih menganggur dan bersaing untuk peluang pekerjaan yang terhad. Mereka dan ibubapa mereka dibebani hutang pendidikan universiti atau kolej yang terpaksa dibayar semula. Hanya segelintir yang mampu berniaga, itupun bukan bidang yang dipelajari di universiti. Di beberapa bandar, perniagaan yang adapun tak kukuh dan merosot. Rumah tidak mampu dibeli tapi sewa rumah meningkat. Ada gaji pun, naik tak seberapa pun. Kalau aku ada statistik amatlah baik sekali untuk dikongsi bersama. Ramai keluarga yang menjadi semakin miskin dan tertekan oleh perubahan kos harian yang meningkat mendadak. Yang mereka dengar dan lihat orang-orang politik dan pegawai-pegawai semakin kerek, buat harta, sombong dan haloba. Yang aku ingat kos barang elektronik yang menurun. Banyak harga barangan sangat ketara meningkat lebih dari kadar inflasi. Aku sedar yang aku akhir-akhir ini kena bayar lebih wang untuk mengekalkan cara hidup yang sama, walaupun tidak mewah manapun. Harga makanan naik, harga pengangkutan naik, harga barang-barang anak bersekolah naik, harga tol naik, dan harga bahanapi pun naik. Semuanya ini naik bukan sedikit. Harga minyak naik menggila satu dunia disebabkan ketamakan kelompok orang yang memupuk 'hedge funds', memanipulasi harga minyak untuk keuntungan gila pihak pelabur. Kesan negatifnya dahsyat seperti 'hedge funds' yang Soros buat di dekad 90'an dulu pada negara-negara Asia dengan memanipulasi harga matawang dan kelemahan sistem bank di Asia. Kali ini pelabur-pelabur berpindah dari isu sub-prima di Amerika dan ingin membuat keuntungan berganda (mengatasi kerugian sub-prima) melalui pasaran bebas harga minyak mentah. Kalau dulu harga minyak mentah naik setiap kali perang di Asia Barat meletus, kali ini ia naik disebabkan pelaburan agresif 'hedge funds'. Kalau setahun lepas seseorang itu melabur USD60,000, hari ini pelaburannya sudah meningkat ke USD135,000. Disebabkan keuntungannya yang amat mengagumkan, lebih ramai jutawan yang tambah duit. Permintaan keuntungan akan meningkat dan harga minyak akan terus naik. Jika harga minyak turun ini akan menjejaskan jutawan, jadi mereka akan terus mengekalkan atau menaikkan lagi harga minyak. Kesannya yang ditulis tadi tu semua akan lebih naik. Tarif utiliti seperti letrik, air, gas dan pembentungan pun akan terus naik juga. Harga cukai pintu pun akan naik juga kot. Harga pakaian, aku tak tahu sangat sebab dah lama tak beli yang baru. Yang ada beli pun dari pakaian 'bundle', kadang-kadang ada juga yang bagus, baru dan murah. Yang eksekutif di bandar semacam aku ni terasa sangat ialah harga petrol, tol dan persekolahan anak-anak. Rumah yang aku beli lebih-kurang 10 tahun dulu jauh sikit dari KL tempat aku kerja. Tiap-tiap hari kena memandu sekurang-kurangnya 65km pergi-balik. Kena bayar 5 atau 6 tol tiap-tiap hari. Aku cuba naik komuter dan LRT, tak bertahan lama sebab asyik tak muat dan lewat sampai pejabat. Tiga-empat tren lalu, sama saja. Aku kena jadi pengganas untuk berebut dan dapat naik pagi dan petang. Kesian yang lain tu sebab badan aku besar sikit. Akhirnya demi kesihatan dan keperluan, aku kena naik kereta juga. Tempat parking kat komuter dan LRT tu pun dah tak muat. Nak balik kampung jenguk-jenguk orang tua pun kena pakai duit yang banyak juga, 320km ke utara atau 300km ke timur melalui lebuhraya bertol. Aku faham dan kesian lebih ramai orang yang semakin tertekan samada di bandar dan di luar bandar. Rata-rata orang yang miskin, berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana (kelas petengahan?) adalah majoriti rakyat Malaysia dan mereka inilah yang merasa kesempitan hidup. Tak bolehlah perangai dan ketamakan orang berduit (dan bercakap banyak) diambil rujukan untuk menentukan tindakan kerajaan. Mungkin mereka ini berpengaruh dan pegawai kerajaan senang dikelilingi mereka ini. Kalau suara orang jauh hanya ingin didengar tapi tak dipedulikan, itu tambah keperitan psikologi. Politik terus berfalsafah dan tidak berkepimpinan membuat orang ramai pun minat berpolitik cakap angin saja tanpa tindakan afirmatif bagi pihak rakyat majoriti. Janganlah pulak kelemahan politik lemah kepimpinan mengulangi senario kegelisahan rakyat dan ketidakstabilan seperti di dekad 60'an dulu. Kalau dulu kaum etnik di Malaysia bertelagah dan bergaduh sesama sendiri tapi kali ini mungkinkah semua kaum etnik dari kumpulan rendah dan pertengahan bergabung melakukan revolusi menentang kerajaan seperti The French Revolution? Na u zubillah, semuga kita dapat elakkan. Kerajaan perlu mengambil sikap "bukan mendengar" saja tapi melakukan tindakan afirmatif ikhlas yang jelas mensasarkan kabaikan untuk majoriti rakyat. Untuk itu, banyak perkara yang perlu dijelaskan kepada majoriti rakyat. Rakyat Malaysia boleh berkompromi tetapi rakyat Malaysia tidak suka sikap dan perkara-perkara tidak baik yang dikatakan sedang berlaku tanpa sebarang penjelasan atau teguran dari pemimpin-pemimpin yang sepatutnya bertanggungjawab. Sekiranya ada tohmahan atau isu khabar angin yang kuat, pemimpin ini perlu tampil ke depan memberi teguran, penerangan, siasatan dan tindakan segera. Sikap berdiam diri tidak baik dan boleh dilihat seolah-olah cuba mencari jalan untuk menutupi masalah. Pemimpin akan dapat dihormati sekiranya mereka bersuara memperbetulkan keadaan. Akupun tak puas hati dengan senario politik dan ekonomi pada masa kini. Aku rasa pertumbuhan kegemilangan Malaysia lenyap begitu saja, di Malaysia, serantau dan diperingkat global. Kalau dulu Malaysia dihormati, kini banyak yang dah tak yakin lagi. Tiadakah pemimpin-pemimpin berwibawa yang dibimbing pada era 80'an? Dimanakah jatidiri dan kebijaksanaan mereka? Kemanakah mereka ini?

No comments: